Saturday, February 6, 2010

Apa itu Lymphoma?

Terminologi Lymphoma merujuk kepada barah yang dihasilkan dari
sistem limfatik badan. Sistem limfatik termasuk noda limfa (juga
dikenali sebagai kelenjar limfa), thymus, limpa, tonsil, adenoids dan
sum-sum tulang, (dipanggil limfatik atau saluran limfa) yang berkaitan.
Walaupun banyak jenis barah yang akhirnya merebak ke bahagian sistem
limfa, Lymphoma adalah yang paling ketara kerana ianya berasal daripada
tempat tersebut.
Dalam Lymphoma, sebahagian sel dalam sistem limfatik dikenali
sebagai limfositik, meningkat tanpa kawalan. Lymphoma yang berlainan di
kategori mengikut jenis sel yang merebak dan bagaimana penyakit
tersebut ditunjukkan.
15% barah dari kalangan kanak-kanak adalah Lymphoma. Ianya jarang
terdapat di kalangan kanak-kanak di bawah usia 3 tahun. Kanak-kanak
lelaki lebih cenderung mendapat penyakit ini dari kanak-kanak perempuan.
 

Apakah jenis-jenis Lymphoma?

Lymphoma dibahagikan kepada 2 kategori, bergantung kepada bentuk sel
barah (malignant). Ianya dikenali sebagai Hodgkin's Lymphoma atau
penyakit Hodgkin (HL) dan non-Hodgkin Lymphoma (NHL). Gabungan
kedua-dua barah ini menjadikannya penyakit barah ke 3 di kalangan
kanak-kanak.
        * Hodgkin's Lymphoma, dinamakan sempena Thomas Hodgkin, seorang
pelajar dan Pakar Perubatan yang pertama menerangkan penyakit tersebut
pada tahun 1832. Jenis ini biasa terdapat pada kanak-kanak dewasa atau
remaja. Ianya jarang berlaku pada kanak-kanak kurang dari 5 tahun.
Lymphoma jenis ini di definisikan dengan kehadiran sel barah yang
spesifik, yang dipanggil sel Reed-Sternberg, di dalam noda limfa atau
organ yang terlibat.
        * Non-Hodgkin's Lymphoma. Gelaran ini digunakan terhadap semua
jenis Lymphoma. Insiden Non Hodgkin Lymphoma meningkat sepanjang hayat
kanak-kanak meningkat remaja. Dalam non-Hodgkin's Lymphoma terdapat
peningkatan jenis lifmfosit yang spesifik ( iaitu sejenis sel darah
putih yang terdapat di kelenjar limfa). Peningkatan perebakan limfosit
juga kelihatan seperti barah darah   Leukemia  ( ALL), kadangkala
menyukarkan untuk mengenal pasti antara Lymphoma dan Leukemia di
kalangan kanak-kanak. Pada amnya, pesakit yang mengidap Lymphoma tidak
melibatkan sum-sum tulang atau melibatkan sedikit sahaja, walhal
pesakit Leukemia melibatkan sum-sum tulang secara menyeluruh.
Walaupun kedua jenis ini terjadi daripada sistem limfa tetapi ianya
melibatkan bahagian badan yang berlainan, merebak secara yang berlainan
juga bertindak terhadap rawatan secara berlainan.
Seterusnya Hodgkin's dan non-Hodgkin's Lymphoma dibahagikan kepada
jenis-jenis yang berlainan berpandukan kepada jenis spesifik sel yang
terlibat, tahap kematangan yang dicapai oleh sel dan bentuk di bawah
mikroskop dan cara pembesarannya. Dari jenis berlainan kadangkala
membantu doktor menentukan cara rawatan yang paling berkesan

Apakah faktor risiko Lymphoma di kalangan kanak-kanak?

Punca sebenar Lymphoma di kalangan kanak- kanak tidak diketahui.
Walau bagaimanapun terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang
kepada seseorang untuk mendapat Lymphoma. Kebanyakan kanak-kanak yang
mendapat barah ini tidak diketahui faktor risikonya.
Kanak-kanak berisiko tinggi mendapat non-Hodgkin s Lymphoma jika mereka 
mempunyai salah satu seperti di bawah:
        * Mempunyai kecacatan semula jadi di dalam sistem imuniti
        * Mereka telah menjalani pemindahan organ dan bergantung kepada ubatan 
yang melemahkan sistem imuniti
        * Mereka dijangkiti oleh Human Immunodeficiency Virus (HIV)
        * Mereka pernah terdedah pada radiasi seperti kejadian kemalangan 
Reaktor Nuklear
        * Mereka pernah mendapat penyakit barah yang lain di masa silam dan 
telah dirawat dengan radioterapi atau kemoterapi
Dalam kebanyakan kes tiada ibu bapa atau kanak- kanak yang dapat
mengawal faktor yang menyebabkan Lymphoma terjadi. Kebanyakan Lymphoma
terjadi daripada mutasi yang tidak diwarisi di dalam gen semasa
pembentukan sel darah. Pemeriksaan secara berkala di kalangan
kanak-kanak kadangkala boleh mengesan simptom awal Lymphoma di dalam
kes yang jarang di mana barah ini dikaitkan kepada masalah imuniti yang
diwarisi, jangkitan HIV, kesan daripada rawatan barah atau rawatan
pengubatan immuno suppressive untuk pemindahan organ 

Apakah tanda-tanda Lymphoma?

Tanda-tanda Lymphoma mungkin sama dengan penyakit lain yang bukan
barah. Oleh itu ia sangat penting untuk anda berjumpa doktor jika anak
anda mempunyai tanda-tanda yang membimbangkan anda.
Di bawah adalah tanda-tanda yang mungkin ada pada Lymphoma:
        * Noda limfa yang terletak di permukaan biasanya tidak sakit, oleh itu 
ia terus membesar tanpa disedari
        * Pembesaran thymus atau noda limfa di dada boleh menekan
saluran udara menyebabkan pernafasan berbunyi, berdengkur, sesak nafas
atau kesukaran pernafasan
        * Ianya juga boleh menyempitkan salur darah utama yang
menyalurkan darah dari kepala dan leher menyebabkan pembengkakan muka,
leher, bahagian atas lengan dan dada
        * Kesukaran untuk menelan
        * Pembengkakan nodus limfa di dalam abdomen boleh menyebabkan
kembung dan ketidakselesaan. Ianya juga boleh menyekat saluran najis
dan menyebabkan sembelit, loya dan muntah
        * Demam, hilang berat badan atau berpeluh pada waktu malam- kadangkala 
dipanggil simptom B
        * Kegatalan kulit dalam kes-kes Hodgkin's Lymphoma
Tanda non-Hodgkin's Lymphoma terjadi dengan cepat, kadangkala dalam
masa beberapa hari atau minggu sebelum ianya dikenalpasti. Sesetengah
jenis non-Hodgkin's Lymphoma terjadi secara perlahan dalam beberapa
bulan.
Bagi Hodgkin's Lymphoma, biasanya berlaku dalam jangka masa panjang,
dan secara perlahan. Pembengkakan dan tanda boleh kelihatan sehingga
setahun sebelum penyakit dapat dikesan dan kanak-kanak tersebut boleh
kelihatan seperti normal. Walau bagaimanapun tanda B pada amnya merebak
dengan cepat dan boleh dikesan dalam tempoh masa beberapa bulan
penyakit dikenalpasti/ disahkan

Bagaimana untuk mengesahkan Lymphoma?

Doktor akan bertanya apa yang membimbangkan dan tanda-tanda yang
ditunjukkan oleh anak anda, sejarah kesihatan yang lalu, sejarah
kesihatan ahli keluarga, ubat yang diambil oleh anak anda, sebarang
alahan, atau isu-isu lain yang dipanggil sejarah perubatan lalu. Doktor
akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda Lymphoma.
Kadangkala, apabila kanak-kanak dikesan mempunyai nodus limfa yang
membengkak tanpa sebab, doktor akan memeriksa nodus tersebut secara
teliti untuk mengetahui sama ada ianya terus membesar. Doktor juga akan
memberi ubat antibiotik kerana pembesaran mungkin disebabkan oleh
jangkitan bakteria. Jika nodus limfa terus membesar atau jika doktor
mengesyaki ianya Lymphoma langkah seterusnya adalah melakukan biopsi.
Ini akan melibatkan pengambilan sedikit tisu atau kadangkala
keseluruhan nodus limfa tersebut.
Bergantung pada tempat di mana sampel tisu akan diambil, biopsi
mungkin menggunakan jarum halus (dipanggil jarum sedutan) atau
pembedahan kecil dilakukan di bawah pembiusan setempat (kulit di
sekeliling tempat biopsi akan dibius). Kadangkala biopsi mungkin perlu
dilakukan dengan melakukan pembedahan besar di bawah bius am. Keadaan
ini dilakukan dalam kes biopsi pembuangan di mana keseluruhan nodus
limfa yang besar atau nodus limfa yang berkaitan dibuang.
Tisu ini akan diperiksa oleh Pakar Patologi untuk menentukan jenis
limfoma yang spesifik. Selain dari ujian asas makmal, ujian yang lebih
canggih juga dilakukan termasuk kajian genetik untuk menentukan
jenis-jenis spesifik Lymphoma itu.
Anak anda juga perlu menjalani kajian imbasan seperti X-ray dada, CT
scan, MRI, gallium scan untuk melihat gambaran di dalam tubuh.
Setelah penyakit disahkan, doktor mungkin juga akan menjalankan ujian
yang lain untuk mengesan sama ada Lymphoma ini telah merebak ke kawasan
lain.Ini dapat membantu mengesan tahap barah tersebut di mana ianya
sangat penting untuk merancang perawatan. Ujian  ujian sampingan
termasuk: 
        * Pengiraan darah secara menyeluruh
        * Kimia darah, termasuk ujian hati dan fungsi buah pinggang
        * Aspirasi/sedutan atau biopsi sum-sum tulang untuk melihat sekiranya 
Lymphoma telah merebak ke sum-sum tulang
Pengambilan cecair dari saraf tunjang untuk mengesan sama ada barah
telah merebak ke sistem ini. Ia cuma dilakukan dalam kes non Hodgkin's
Lymphoma sahaja.

Bagaimana untuk merawat Lymphoma?

Rawatan untuk Lymphoma di kalangan kanak-kanak bergantung kepada
tahap barah tersebut. Menentukan tahap barah adalah cara untuk
mengkategorikan atau mengklasifikasikan pesakit mengikut tahap
keterukan penyakit tersebut semasa di diagnosis (diagnosis).
Terdapat 4 tahap Lymphoma, bermula dari tahap 1 (barah Cuma
melibatkan 1 bahagian nodus limfa atau satu organ di luar nodus limfa)
hingga tahap 4 (barah yang telah merebak, hingga ke satu atau lebih
tisu atau organ di luar sistem limfatik). Tahap pengesahan dapat
membantu Pakar Perubatan dalam menentukan rawatan dan juga menjangka
bagaimana seseorang pesakit Lymphoma akan bertahan dalam jangka masa
panjang.
Kemoterapi (pengubatan bertahap tinggi untuk membunuh sel barah)
adalah rawatan utama yang di gunakan. Ianya rawatan yang sangat penting
untuk penyakit non-Hodgkin s Lymphoma. Ini biasanya melibatkan
penggunaan kombinasi beberapa jenis ubatan dan rawatan yang mengambil
masa beberapa bulan.
Hodgkin's Lymphoma di kalangan kanak-kanak dirawat dengan
kemoterapi. Kadangkala Radioterapi (penggunaan cahaya yang berkuasa
tinggi untuk mengecutkan tumor/barah dan menyekat sel barah daripada
merebak) yang hanya digunakan dalam situasi tertentu

Adakah peluang untuk sembuh penyakit Lymphoma

Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami sama ada penyakit Hodgkin atau
NHL boleh sembuh, bererti mereka bebas dari barah selama lebih dari 5
tahun.
Lebih kurang 90% kanak-kanak yang mengalami penyakit Hodgkin akan
sembuh sepenuhnya (di mana tiada lagi sel barah di dalam badan) setelah
menjalani kemoterapi. Penyembuhan dalam masa yang panjang (bebas dari
penyakit selama 5 tahun atau lebih) dapat dicapai pada semua pesakit
tahap satu atau tahap 2, dan sehingga 90% pada pesakit tahap 3, dan
lebih dari 60% bagi mereka yang tahap 4.
Kanak-kanak yang mengalami NHL, 90% berada dalam keadaan selamat
setelah 5tahun bagi mereka yang berada dalam tahap 1 atau 2 semasa
pengesahan penyakit (diagnosis), dan hampir 70% bagi mereka yang
mengalami tahap 3 atau 4.
Walaupun kebanyakan kanak-kanak bertindak balas dengan baik terhadap
rawatan, tetapi sebahagian dari mereka mengalami penyakit yang berulang
(barah berulang) disebabkan oleh berlakunya tindak balas pada
'conventaional chemotherapy'. Bagi kanak-kanak ini, dos ubatan
kemoterapi yang tinggi diikuti dengan pemindahan sum-sum tulang atau
pemindahan sel stem.
zamzizi

tanda-tanda menghidapi penyakit barah

Tujuh tanda-tanda barah
1] Perubahan tabii sistem pembuangan najis dan perkencingan
2] Kudis yang tidak boleh sembuh
3] Perdarahan atau lendir yang luar biasa
4] Ketumbuhan pada buah dada atau di tempat lain
5] Makanan tidak hadam atau kepayahan menelan
6] Perubahan ketara pada kutil atau tahi lalat
7] Batuk yang sentiasa ada atau serak suara

Cara merawat atau mengubati barah

Cara merawat atau mengubati barah
Doktor akan merawat mangsa barah dengan cara yang sesuai dengan jenis barah dan peringkatnya.
Antara rawatan yang diberi ialah:
  • Pembedahan untuk membuang keseluruhan ketumbuhan barah termasuk kawasan sekelilingnya serta kelenjar-kelenjar lymph yang berdekatan. Pembinaan semula dilakukan jika perlu seperti 'colostomy', iaitu membina salur najis di atas perut apabila usus dan dubur telah dibuang
  • Menggunakan radioterapi untuk memusnahkan sel-sel barah. Radiasi memusnahkan bahan genetik sel barah supaya ia tidak berupaya bercambah lagi. Tetapi radiasi juga turut memusnahkan sel yang normal. Proses pemulihan sel normal akan berlaku selepas itu. Selalunya dos radiasi yang selamat diberikan. Ia diberikan setiap hari selama 4 hingga 6 minggu. Kesan sampingan yang dialami ialah gatal kulit. Ini boleh dikurangkan dengan tidak membasuhnya, kemudian sapukan kerim. Kelesuan dan cirit-birit akan berlaku jika rawatan dibuat di bahagian perut. Rambut akan gugur jika rawatan dibuat di kawasan kepala, tetapi rambut akan tumbuh semula dalam tempoh 6 bulan. Kesembuhan untuk ketumbuhan setempat seperti di leher dan kepala kadang-kadang boleh dicapai dengan radiasi. Radiasi dilakukan selepas pembedahan untuk meningkatkan kesembuhan seperti pada buah dada. Radiasi juga boleh melegakan gejala-gejala barah terutamanya rasa sakit. Radiasi kadang-kadang dimasukkan sebagai susuk ke dalam mulut, lidah, rahim untuk mengurangkan pemusnahan sel-sel normal.
  • Kemoterapi iaitu dengan ubat-ubatan untuk memusnahkan kandungan genetik sel barah. Rawatan cara ini diberi bila barah telah merebak. Pemusnahan kandungan genetik mengakibatkan percambahan sel barah tidak sempurna, tetapi ia turut melibatkan percambahan sel normal. Kesan sampingan rawatan ini adalah keguguran rambut, loya dan pengurangan sel darah. Ini kerana sel di bahagian kulit, tulang sumsum dan perut bercambah dengan pesatnya.
  • Terapi hormon diberi pada barah yang bergantung kepada hormon untuk bercambah. Hormon penghalang pengeluaran hormon yang biasa diberi supaya sel barah ini berhenti bercambah.
Rawatan kombinasi juga diberi untuk barah seperti yang dihidapi oleh kanak-kanak. Pembedahan diikuti dengan radioterapi kemudian diikuti dengan ubat-ubatan. Dalam kes barah lukemia dan anemia tertentu, radiasi seluruh tubuh dilakukan sebelum pemindahan tulang sumsum dilaksanakan.
Kebanyakan jenis barah boleh diatasi jika dikesan pada peringkat awal. Oleh itu adalah penting untuk membuat ujian dan mengesannya di peringkat awal supaya rawatan serta merta dapat diberikan. Selepas sembuh, rawatan susulan adalah sangat penting terutamanya pemeriksaan di bahagian yang terlibat. Sekiranya mangsa barah boleh hidup dan sihat sehingga selepas 5 tahun, bolehlah berharap bahawa dia tidak akan lagi dihingapi barah.
Cara mengelak barah
Beberapa langkah boleh diambil untuk mengelak berlakunya barah seperti:
  • Elakkan dari terdedah kepada cahaya matahari secara terus menerus
  • Elakkan menghisap rokok
  • Elakkan menjalani sinar X kecuali jika benar-benar perlu
  • Kurangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi
  • Lebihkan makanan yang mengandungi serabut yang tinggi
  • Kurangkan makan bahan-bahan manis
  • Tinggal di kawasan yang tidak tercemar udara
  • Pilih pekerjaan yang tidak mendedahkan diri kepada bahan-bahan yang boleh menyebabkan barah

cara mengesan barah

Mengesan barah
Jika barah dapat dikesan pada peringkat awal sebelum ia merebak ke bahagian lain tubuh, rawatannya lebih mudah dan penyembuhan lebih mudah tercapai. Oleh itu pengdiagnosan yang seawal-awalnya sangat penting. Ketakutan kita pada penyakit barah ada kalanya melengahkan kita dari mendapat kepastian ini.

Barah boleh dikesan dengan berbagai cara seperti:
  • Sinar X dan imbasan Biopsi atau mengambil secebis tisu dan diuji
  • Ujian cairan/lelehan dari tubuh seperti air liur dan lelehan pangkal rahim
  • Pemeriksaan darah untuk menguji fungsi hati dan tulang
  • Isotope; iaitu bahan radioaktif dimasukkan ke dalam tubuh, kemudian dikesan melalui sinar X
  • Termografi; iaitu mengesan suhu pada setiap bahagian yang terlibat. Sel barah lebih tinggi suhunya dari sel normal
Setelah dikesan dan diketahui jenis serta peringkat barah yang dihidapi, rawatan yang tepat dapat dimulakan.
Tujuan rawatan ialah untuk memusnahkan semua sel barah.

Siapa dihidapi barah?

Siapa dihidapi barah?
Kanak-kanak juga boleh menghidapi barah, iaitu lazimnya barah lukemia. Lukemia kerap mencari mangsa yang berumur antara 3 hingga 14 tahun. Kaum lelaki pula mengalami barah paru-paru, prostat, usus besar, perut dan pankrias. Kaum wanita yang malang dihinggapi barah buah dada, pangkal rahim, rahim, usus besar, paru-paru dan ovari.

Mengapa barah terjadi?

Mengapa barah terjadi?
Sebab terjadinya barah tidak diketahui, tetapi barah didapati biasa terjadi apabila seseorang itu sudah meningkat tua. Bertambahnya bilangan pesakit barah adalah disebabkan dewasa ini kita hidup lebih lama dari dulu. Satu teori lain pula mengatakan bahawa tubuh kita memang mengeluarkan sel-sel yang tidak normal, tetapi biasanya ia boleh dimusnahkan secara semulajadi. Namun begitu terdapat pada mangsa barah, sebilangan sel yang berupaya untuk terus hidup hingga mengakibatkan barah.

Ada juga barah yang diwarisi seperti barah mata (retina). Barah buah dada juga dikatakan ada kaitan dengan warisan untuk sesetengah mangsa.

Kebanyakan barah dipercayai berlaku akibat dari kemasukan sesuatu dari persekitaran seperti yang terbukti dari radiasi, kimia tertentu atau bahan-bahan lain. Cahaya ultra-ungu dari matahari juga boleh mengakibatkan barah. Bahan-bahan yang dimasukkan dalam makanan, ubat-ubatan dan tembakau juga boleh mengakibatkan barah

Cara barah membiak

Cara barah membiak
Sel barah berupaya merebak hingga menjadikannya sangat merbahaya. Sel ini merebak dengan teratur bermula dari tisu-tisu di sekelilingnya. Kemudian sel-sel ini bercerai dan terkandung dalam cairan tisu tubuh, seterusnya masuk ke dalam saluran lymphatik dan ke dalam kelenjar-kelenjarnya. Dari sini sel barah menembus masuk ke dalam saluran darah.

Fungsi kelenjar lymp adalah menapis keluar sel-sel yang mati dan jangkitan. Sel barah lazimnya terperangkap di dalam kelenjar yang paling hampir dengan tempat barah terjadi. Sel-sel ini akan mati, tetapi lambat laun satu darinya akan mula bercambah dan mengakibatkan ketumbuhan kedua. Dari sini sel-sel itu akan merebak ke dalam saluran darah dan dibawa keseluruh tubuh mangsanya

Asal-usul barah

Asal-usul barah
Sel barah bermula dari sel-sel normal dalam tubuh. Hanya satu sel sahaja diperlukan untuk mencetus ketumbuhan barah. Proses perubahan dari sel normal menjadi sel barah berlaku secara sangat perlahan dan berperingkat-peringkat serta memakan masa bertahun-tahun. Pada setiap peringkat, sel-sel ini menjadi bertambah tidak normal bentuknya dan kian kurang terkawal.

Proses ini tidak menimbulkan apa-apa tanda atau kesakitan sehinggalah barah terjadi. Tetapi dalam sesetengah keadaan, seperti barah pangkal rahim, perubahan ini boleh dikesan melalui ujian seperti pap smear.

Ketumbuhan

Ketumbuhan
Tidak semua ketumbuhan itu barah, ada yang "benign". Jenis ini tidak merbahaya kecuali bila mengganggu fungsi organ yang terlibat. Ketumbuhan "benign" tidak merebak, ia tumbuh di dalam kelongsongnya dan dalam tisu-tisu yang normal. Ketumbuhan "malignant" merbahaya kerana ia terdiri dari sel-sel barah yang menceroboh atau tumbuh dalam tisu-tisu normal. Bukan itu sahaja, sel-sel dari ketumbuhan ini malahan bercerai dan merebak ke seluruh anggota mangsanya hingga mengakibatkan kematian mangsanya

Ketumbuhan "benign" kelihatan seakan-akan tisu normal, percambahannya terkawal dan perubahannya lebih perlahan. Tetapi jika ketumbuhan ini berlaku pada organ yang penting seperti paru-paru, kesihatan mangsanya akan terjejas. Ketumbuhan "benign" perlu dikeluarkan melalui pembedahan

Jenis-jenis barah

Jenis-jenis barah
Barah dikelaskan mengikut dari mana datangnya sel-sel barah ini iaitu:
Karsinoma - dari permukaan tubuh seperti kulit, perut, pundi air kencing, rahim, prostat, usus kecil dan besar, dubur, buah dada dan salur benih.
Sarkoma - dari struktur dalam tubuh seperti tulang, otot-otot dan lemak.
Lymphoma - dari kelenjar lymph.
Lukemia - dari sel darah putih

Sel-sel barah

Sel-sel barah
Sel-sel barah membahagi dan bercambah mengikut kadar tersendiri tanpa boleh dikawal. Proses itu berterusan sehingga rawatan diberi. Percambahan yang begitu cepat menjadi ketumbuhan. Sel-sel ini juga tidak terkawal secara teratur sehingga tisu-tisu yang terbentuk dari sel-sel ini tidak langsung menyerupai tisu-tisu yang normal. Bahan makanan diserapi melalui sel-sel yang normal, tetapi sel-sel barah ini tidak berfungsi langsung.

Pertumbuhan sel yang normal

Barah terjadi hasil dari pertumbuhan dan percambahan sel tubuh, lymph dan darah yang tidak terkawal. Ia sangat merbahaya bukan kerana ia boleh menjangkiti orang lain, tetapi ia lambat laun akan membunuh mangsanya. Barah merupakan salah satu dari punca utama kematian manusia.

Pertumbuhan sel yang normal
Di dalam tubuh manusia terdapat berbagai jenis tisu seperti kulit, paru-paru, hati, limpa dan yang lain. Tisu-tisu tersebut terbina dari berjuta-juta sel yang teratur dan terkawal, dengan setiap tisu mempunyai struktur sel yang tersendiri. Rupa bentuk setiap sel berbeza dari satu organ ke satu organ yang lain.

Sel-sel ini akan mati dan diganti melalui proses pembahagian sel. Proses ini dikawal begitu rapi dan merupakan proses biasa yang berlaku secara semulajadi. Bilangan sel yang diganti adalah sama jumlahnya dengan sel yang telah mati. Jika berlaku luka, penghasilan sel akan meningkat sehingga luka itu sembuh dan pembahagian sel menjadi kembali seperti biasa selepas itu

Followers

advertisment

 
info kanser Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template